Wednesday, 14 May 2014

NILAI BITARA PRIHATIN KEBAJIKAN ANGGOTA






PRIHATIN KEBAJIKAN ANGGOTA


       
Peluang Untuk Maju
Jika kita perhatikan situasi yang berlaku di sekolah, guru sentiasa berusaha untuk memajukan atau meningkatkan prestasi anak muridnya. Bagaimana pula dengan guru? Adakah guru merebut peluang untuk memajukan dirinya sendiri ? Selain mengambil berat tentang anak muridnya dan rakan sejawatan, guru juga perlu mengambil kira tentang dirinya sendiri. Guru harus berusaha untuk memajukan dirinya sendiri sama ada dari segi pengetahuan, kemahiran dan sebagainya. Misalnya pada hari ini, ramai guru berusaha untuk memajukan diri dari segi pengetahuan dengan cara menyambung belajar walaupun secara pendidikan jarak jauh. Sikap seperti ini dapat memberi motivasi untuk murid belajar dengan bersungguh-sungguh

        Empati
Seorang guru yang mempunyai ciri-ciri yang baik seharusnya memiliki sikap empati. Sikap empati ini merupakan satu nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.Mendengar masalah rakan-rakan atau murid-murid adalah salah satu cara kita menunjukkan sikap empati kita. Pada murid-murid, sebagai guru kita harus peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh murid dan mengambil berat tentang perkara tersebut untuk menghulurkan bantuan. Menjadi pendengar yang baik terhadap masalah atau luahan murid-murid akan memberikan tanggapan positif  terhadap kita bahawa kita mempunyai sikap empati terhadap orang lain yang dalam kesusuhan dan memerlukan sokongan atau bantuan kita. Dengan menunjukkan sikap empati, kita dapat mewujudkan dan mengeratkan perhubungan kita di antara satu sama lain.

       Penghargaan
Teori Abraham Maslow ada menyatakan bahawa seseorang individu juga memerlukan penghargaan daripada orang lain di atas apa yang individu tersebut lakukan. Dalam situasi di sekolah, bukan sahaja guru perlu dihargai, bahkan murid juga seharusnya diberi penghargaan. Banyak cara bagaimana penghargaan ini boleh ditunjukkan. Contohnya bagi menunjukkan kita menghargai rakan sejawat kita boleh mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang diperolehi, ucapan terima kasih di atas pertolongan yang dihulurkan. Dalam situasi murid pula, guru harus menghargai hasil kerja yang dilaksanakan oleh muridnya. Misalnya ucapan syabas kerana berjaya menyiapkan projek yang dberikan dengan berkualiti, memberi hadiah kepada murd kerana berjaya meningkatkan prestasi pelajaran sebagai menghargai usaha murid tersebut dan sebagainya. Penghargaan yang diberikan kepada murid amatlah penting supaya murid mengetahui mereka sentiasa diambil berat dan tidak terabai.
   
       Keselesaan Persekitaran
Persekitaran yang selesa dan kondusif amat penting di sesuatu tempat bertugas. Persekitaran yang kondusif mampu menghasilkan produktiviti yang berkualiti. Sebagai contoh di sekolah, persekitaran yang tidak selesa untuk murid belajar kerana kemudahan infrastruktur tidak lengkap menyebabkan murid tidak berminat dan bermotivasi untuk mengikuti pembelajaran di sekolah. Oleh itu, pentingnya persekitaran yang selesa supaya tumpuan atau fokus anak murid kita tidak terjejas. Guru harus memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif walaupun sesebuah sekolah itu serba kekurangan dari segi infrastrukturnya.
 

No comments:

Post a Comment